Press Release

S’wak terus dipromosi dalam peta pelancongan
May 31, 2013, Friday


PELANCARAN: Talib (kanan) menyempurnakan majlis prapelancaran Festival Pelancongan Atas Talian- Borneo Post Online di Kuching semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Kho, Jamilah, Ik Pahon, Rashid dan Dorge. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Festival Pelancongan Atas Talian – Borneo Post Online dilancarkan dalam usaha untuk mempromosikan Sarawak dalam peta pelancongan dunia menerusi tawaran pakej pelancongan serta percutian menarik.

Majlis prapelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip di pejabatnya di Menara SEDC di sini semalam.

Festival Pelancongan Atas Talian – Borneo Post Online merupakan kerjasama strategik antara akhbar tempatan berbahasa Inggeris The Borneo Post dengan syarikat pelancongan Asia Tourism Alliance (ATA).

Ketua Borneo Post Online Dorge Rajah berkata, inisiatif festival atas talian itu bermula apabila Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ATA bertemu Pengarah Borneo Post Online, Phyllis Wong tahun lepas membincangkan idea ingin memperkenalkan penempahan pakej percutian serta pelancongan dengan portal berita Borneo Post Online.

“Apabila AsiaTourismAlliance. com dilancarkan Disember tahun lepas, mereka mahu menguji maklum balas terhadap pertanyaan menerusi Borneo Post Online. Selepas itu kerjasama terjalin dengan mengaktifkan enjin tempahan dalam laman web kami.

“Sambutan amat menggalakkan dengan 10,000 lawatan ke laman web AsiaTourismAlliance. com dari seluruh Malaysia dan dunia. Maklum balas itu akhirnya membawa kepada penganjuran Festival Pelancongan Atas Talian yang dikuasai serta didorong oleh AsiaTourismAlliance.com,” jelasnya.

Menurut Dorge, festival atas talian itu adalah yang pertama di Malaysia Timur dan menerusi penempahan secara atas talian terdapat 400 syarikat penerbangan, 120,000 hotel boleh ditempah di seluruh dunia selain lebih 500,000 pakej pelancongan ditawarkan.

Sementara itu, Presiden Asia Tourism Alliance Sdn Bhd, Kho Sze Min memberitahu menerusi kerjasama strategik itu, pihaknya berhasrat menjadi ‘gudang’ penyedia penyelesaian pelancongan dengan melibatkan rakan-rakan niaga berwibawa dari seluruh dunia.

“Kami akan terus menggunakan landasan ini untuk mempromosikan Sarawak terutama dalam pasaran global kerana kami sentiasa percaya pelancongan adalah laluan dua hala. Iaitu tidak hanya menggalakkan pelancong luar melawat negara kita tetapi rakyat Malaysia melawat ke negara mereka.

“Festival Pelancongan Atas Talian yang pertama ini merupakan peluang kepada kami untuk menguji pasaran kerana kami berharap akan menganjurkannya secara besar-besaran pada masa akan datang,” kata Kho.

Talib pula berharap pelancaran festival pelancongan itu akan membantu Sarawak menarik lebih ramai pelancong luar melawat negeri ini.

“Kita mahu pelancong terutamanya dari luar negara menikmati kemudahan-kemudahan pelancongan yang ada di Sarawak. Selain itu, pameran ini menawarkan pakej percutian dan pelancongan menarik antaranya 120,000 hotel di seluruh dunia,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, CEO Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Naib Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi (COO) Asia Tourism Alliance Sdn Bhd Jamilah Shukri.

Sumber: Borneo Post Online

 

 
 
Visitors: Online Users